Sabtu, 5 Julai 2014

Eksperimen Pembenihan Buah Tin Secara Keratan Batang 1 inci - Result Gagal



Tujuan eksperimen ini dilakukan adalah untuk pembenihan. Walaupun eksperimen ini gagal tetapi saya tetap mahu berkongsi, bukan untuk menunjukkan kebodohan saya tetapi untuk rujukan kegagalan. "Jangan Ulangi Kegagalan Ini". Saya tiada rujukan apa-apa. Saya hanya terfikir dan ingin melakukannya. Mula-mula saya memotong 1 keratan batang daripada dahan yang paling atas. Keratan batang tersebut adalah seperti dalam gambar.

Kemudian, keratan batang ini saya potong secara serong sebanyak 8 bahagian dengan ukuran lebih kurang 1 inci. Setiap bahagian saya masukkan ke dalam span kecil dan disusun di dalam mangkuk kecil seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Setelah itu, saya masukkan campuran tanah gambut di setiap celah span. Teori saya adalah akar akan tumbuh dengan rangsangan air dan mineral manakala pucuk akan tumbuh dengan rangsangan cahaya. Span akan menyimpan air manakala tanah membekalkan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran. Apabila semuanya selesai, saya letakkannya di bawah pencahayaan matahari ataupun lampu pendaflour. Di samping itu saya akan siram dengan penyembur pada setiap pagi. Setiap malam saya akan lihat perubahannya. Namun, tiada perubahan positif. Setelah 3 minggu, semua keratan menjadi layu dan kering. Tiada tanda pertumbuhan akar ataupun pucuk. Eksperimen ini saya hanya lakukan sekali sahaja. Tiada kesimpulan yang dapat dibuat tetapi secara teorinya mungkin keratan batang yang saya ambil itu terlalu muda ataupun potongannya terlalu pendek. Eksperimen yang tiada rujukan seperti sememangnya akan gagal. Errr--9999 @@ :p Sekian.Terima kasih.