Sabtu, 5 Julai 2014

Eksperimen Pembenihan Buah Tin Secara Keratan Batang 1 inci - Result Gagal



Tujuan eksperimen ini dilakukan adalah untuk pembenihan. Walaupun eksperimen ini gagal tetapi saya tetap mahu berkongsi, bukan untuk menunjukkan kebodohan saya tetapi untuk rujukan kegagalan. "Jangan Ulangi Kegagalan Ini". Saya tiada rujukan apa-apa. Saya hanya terfikir dan ingin melakukannya. Mula-mula saya memotong 1 keratan batang daripada dahan yang paling atas. Keratan batang tersebut adalah seperti dalam gambar.

Kemudian, keratan batang ini saya potong secara serong sebanyak 8 bahagian dengan ukuran lebih kurang 1 inci. Setiap bahagian saya masukkan ke dalam span kecil dan disusun di dalam mangkuk kecil seperti yang ditunjukkan dalam gambar. Setelah itu, saya masukkan campuran tanah gambut di setiap celah span. Teori saya adalah akar akan tumbuh dengan rangsangan air dan mineral manakala pucuk akan tumbuh dengan rangsangan cahaya. Span akan menyimpan air manakala tanah membekalkan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran. Apabila semuanya selesai, saya letakkannya di bawah pencahayaan matahari ataupun lampu pendaflour. Di samping itu saya akan siram dengan penyembur pada setiap pagi. Setiap malam saya akan lihat perubahannya. Namun, tiada perubahan positif. Setelah 3 minggu, semua keratan menjadi layu dan kering. Tiada tanda pertumbuhan akar ataupun pucuk. Eksperimen ini saya hanya lakukan sekali sahaja. Tiada kesimpulan yang dapat dibuat tetapi secara teorinya mungkin keratan batang yang saya ambil itu terlalu muda ataupun potongannya terlalu pendek. Eksperimen yang tiada rujukan seperti sememangnya akan gagal. Errr--9999 @@ :p Sekian.Terima kasih.

Isnin, 14 April 2014

Penanaman Pokok Buah Tin - Buah TGF Yang Pertama dan Cabang Baru Tumbuh dari Dalam Tanah



Keterujaan terhadap penanaman pokok buah tin semakin meningkat apabila buah TGF yang pertama telah terhasil. Lihat gambar di sebelah sebagai rujukan. Dalam bulatan merah adalah buah tersebut. Saya tidak berapa pasti berapakah usia sebenar buah ini, tetapi saya pasti usianya dalam lingkungan kurang daripada 3 minggu. Manakala pokok TGF ini berusia 1 bulan 12 hari. Berdasarkan pemerhatian saya, perkembangan pertumbuhannya amat baik. Antara faktor-faktor perkembangannya, telah saya sebutkan sebelum ini dan ada tambahan sedikit yang saya nak kongsikan:-
1. Baja buah
2. Baja tanah bakar
3. Sedikit taburan pasir putih di atas permukaan tanah
4. Meletakkan kedudukannya cukup untuk mendapat pencahayaan yang baik
5. Tidak membiarkan tanah ditakungi air
Saya juga berpendapat, faktor ruang tanah juga mempengaruhi penyebaran nutrien tanah yang dapat diserap oleh akar pokok. Semakin besar ruang bekas, semakin banyak tanah dapat ditaburkan, semakin banyak nutrien yang dapat dibekalkan.

Baiklah, gambar di sebelah menunjukkan terdapat 1 cabang yang tumbuh daripada dalam tanah. Setelah dikorek dan diperiksa, didapati cabang ini tumbuh daripada batang yang tenggelam di dalam tanah. Saya pasti, faktor-faktor yang telah saya sebutkan tadi, mendorong kepada kesuburan pokok TGF ini sehingga membenarkan pertumbuhan cabang dari dalam tanah. Dalam sains, seperti yang kita telah maklum, tumbuhan bergerak ke arah sumber cahaya. Faktor pencahayaan yang baik inilah mendorong cabang ini tumbuh dari dalam tanah.

Ahad, 6 April 2014

Penanaman Pokok Buah Tin - Taiwan Golden Fig (TGF) Usia Sebulan dari Tarikh Pembelian 2 Mac 2014



Gambar-gambar di atas adalah merujuk kepada spesis Taiwan Golden Fig (TGF) yang berusia sebulan dari tarikh pembelian dan pemindahan ke bekas baru iaitu pada 2 Mac 2014. Sejak dipindahkan, pokok ini hidup subur dan semakin membesar. Kita dapat lihat terdapat pertumbuhan cabang-cabang baru di setiap sudut batang daun. Pada mulanya tunas yang tumbuh disangkakan putik buah tetapi ia sebenarnya pertumbuhan cabang baru. Hal ini adalah sangat baik kerana pada asasnya, pokok tin akan berbuah di setiap sudut batangnya. Semakin banyak cabang, semakin besarlah potensi pokok buah tin untuk berbuah dengan lebat.

Isnin, 31 Mac 2014

Penanaman Pokok Buah Tin - Pengenalan



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Buah 'tin', 'fig' atau 'ficus carica'. Kesemuanya adalah merujuk kepada buah yang sama. Kita lebih mengenali buah tin kerana telah disebut dalam al-Quran surah at-Tin ayat yang pertama sekali, yang mana dari makna ayat tersebut, Allah subhanallahu ta'ala telah bersumpah demi buah Tin dan buah Zaitun. Jika difikir dengan fikiran yang waras, tidaklah tercapai akal kita sebagai manusia biasa yang sanggup bersumpah demi buah Tin dan buah Zaitun, jika tidak kerana keistimewaannya, khasiatnya dan kejaibannya terhadap alam dan manusia. Wallahua'lam, saya percaya Allah lebih mengetahui rahsia di setiap kejadian kerana Dialah Pencipta Yang Maha Esa.

Saya mula berminat untuk menanam pokok buah tin ini sejak makan buah tin kering yang dibeli daripada penjaja di medan selera Technoflex Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil. Sejak saya makan buah tin kering itu, saya terfikir tentang khasiat dan rahsia buah tin. Internet sememangnya satu media elektronik yang sangat berguna. Apa-apa sahaja maklumat yang kita perlukan terdapat dalam internet. Saya mulakan carian tentang khasiat buah tin ini, antara khasiat-khasiatnya adalah membunuh sel-sel kanser dan merawat sakit buasir.

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin, lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut sama makan. Kemudian baginda SAW bersabda “Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.” - petikan dari blog http://miramawary.blogspot.com/2013/09/khasiat-dan-kelebihan-buah-tin.html

Kemudain saya terfikir, adakah saya boleh menanam pokok tin ini di Malaysia. Saya mula tertanya-tanya sehingga saya kemukakan soalan tersebut kepada rakan tempat kerja saya. Saya mengatakan bahawa buah tin ini tidak boleh ditanam di sini kerana cuaca yang berbeza. Kami berbahas sehingga membawa kepada pencarian maklumat penanaman pokok buah tin di Malaysia di laman sesawang dan Facebook. Hasilnya, memang menakjubkan. Sememangnya pokok buah tin ini boleh ditanam di merata-rata tempat yang berbeza-beza keadaan cuacanya. Hal ini telah terbukti dengan penemuan sekumpulan kecil penggemar tanaman ini di Malaysia yang mana mereka juga telah menyebarkan hal ini dalam Facebook. Lebih menakjubkan lagi, mereka telah mengumpul lebih daripada 300 spesis pokok buah tin dari pelbagai negara. Di antaranya negara China, Taiwan, Palestin, Australia dan lain-lain lagi. Di antara Nama-nama kumpulan ini yang terdapat dalam Facebook adalah 'Fig Mania','Amanda Putri's Fig Garden', 'Fig Malaysia', 'Ficus Carica for everyone' dan 'Pokok Tin ( Fig Plant ) Malaysia'. Kumpulan-kumpulan kecil ini bergiat aktif dalam mencari penggemar-penggemar baru pokok buah tin dan sekaligus menyebarkan maklumat tentang penanaman pokok buah tin di Malaysia.

Setelah mengenali dan menghubungi salah satu daripada kumpulan ini, saya telah diyakinkan oleh Admin Fig Malaysia, supaya membeli benih pokok buah tin ini daripada Admin Fig Mania sebagai satu permulaan. Tanpa membuang masa, saya telah pergi ke rumah beliau yang terletak di Bukit Mahkota,Bangi. Saya telah membeli sejenis pokok buah tin daripada spesis negara Taiwan yang dikenali sebagai TGF iaitu 'Taiwan Golden Fig'. Sila lihat gambar sebagai rujukan. Gambar-gambar tersebut adalah keadaan pokok buah tin TGF yang telah saya pindahkan ke bekas yang lebih besar. Alhamdulillah, berkat kesabaran daripada menyiram dan membaja yang telah dibantu oleh bapa saya, pokok ini telah bercambah dengan cabang-cabang di setiap celahan batang daun. Walaupun belum ada putik buah yang tumbuh, saya tetap gembira kerana pokok ini hidup subur. Di antara baja-baja yang saya gunakan adalah baja buah dan tanah bakar. Saya harap pokok ini akan membuahkan buah-buah tin yang banyak dan lazat. Insya-Allah. Terima kasih kepada pemilik Amanda Putri Fig Garden, En.Dol Malik kerana telah memberikan tunjuk ajar yang baik.